Monday, June 27, 2011

http://cyberita.asia1.com.sg/mrencana/story/0,6879,191529,00.html


26 Jun 2011

EKSTRA!

Pejuang kebajikan kucing

SEPANJANG dua tahun beliau aktif dalam Persatuan Kebajikan Kucing (CWS), Cik Fareena Mehr Omar tidak pernah berjumpa kes penganiayaan kucing yang begitu teruk seperti yang ditemuinya pada Julai tahun lalu.

Bayangkan bukan satu atau dua, tetapi sehingga 10 ekor kucing dihumban ke dalam tong sampah besar dalam keadaan yang cukup menyedihkan.

'Kucing-kucing yang dibuang itu kurus, cengkung dan tidak bermaya. Kasihan sungguh!' ujar Cik Fareena, presiden CWS, semasa menyingkap pengalaman tersebut.

Doktor haiwan yang merawat kucing-kucing itu mengesahkan bahawa kucing-kucing itu sudah lama tidak diberi makan.

Pihaknya, bagaimanapun, berjaya mengesan keluarga yang membuang kucing-kucing itu.

'Apabila kami ke rumah empat bilik keluarga itu di Tampines, kami terperanjat tuan rumah itu menyimpan sehingga 54 ekor kucing!

'Bau rumah itu juga amat busuk! Penghuni rumah itu seakan tidak mengendahkan keadaan rumahnya yang penuh dengan najis dan kencing kucing. Bayangkan mereka boleh potong sayur sebelah najis kucing!' jelasnya.

Keluarga Melayu terdiri daripada lima anggota itu datang daripada keluarga berpendapatan rendah dan tidak pernah mengembiri kucing-kucing peliharaan mereka.

Menurut Cik Fareena, masalah kewangan dikaitkan sebagai faktor utama mengapa kucing-kucing itu tidak dikembirikan.

Melihat keadaan kucing-kucing itu, pihak CWS dengan pantas mengembirikan kesemua kucing itu dan 'memindahkan' kucing-kucing itu kepada pemilik yang lebih bertanggungjawab.

'Inilah akibatnya kalau tidak dikembirikan. Kucing- kucing ini akan membiak dan sukar pemiliknya mengawal dan menjaganya dengan betul,' tegas Cik Fareena.

Hasil siasatan didapati seorang lelaki berusia 20-an tahun telah membuang kesemua 10 ekor kucing itu. Dia telah didapati bersalah dan dikenakan denda $1,000.

Di bawah undang-undang, pesalah boleh dikenakan denda $10,000 dan penjara 12 bulan.

Selain itu, persatuan ini juga giat melakukan kerja-kerja sebagai perantara dengan majlis bandaran.

Dalam sebulan, ia boleh menerima sehingga 200 kes aduan berkaitan dengan kucing daripada majlis bandaran.

'Antara aduan yang kami terima termasuk najis kucing peliharaan yang bersepahan di depan koridor jiran, kucing-kucing terbiar merayau-rayau di kolong blok dan ada pula yang menggaris kereta.

'Pihak kami kemudian akan hubungi individu yang membuat aduan itu dan cuba selesaikan masalah itu,' jelas pula Ketua Jawatankuasa Perantaraan CWS, Cik Suzana Sainol.

Pada masa yang sama, pihaknya juga akan mendidik individu yang membuat aduan tersebut dan memberitahunya apakah nasib yang akan dihadapi kucing-kucing itu jika ia ditangkap oleh majlis bandaran.

'Apabila kucing terbiar ini ditangkap, ia akan dibunuh.

'Jadi, seberapa boleh, kami akan cuba meningkatkan tahap toleransi penduduk yang kurang senang dengan kehadiran kucing-kucing terbiar ini,' ulas Cik Suzana.