Monday, June 27, 2011

Rumah mesra kucing


http://cyberita.asia1.com.sg/mrencana/story/0,6879,191526,00.html

Rumah mesra kucing

SEBELUM membuat keputusan memelihara kucing, Cik Nor Melati Ja'afar gigih membuat kajian menerusi Internet dan buku-buku penjagaan kucing bagi memahami tuntutan serta cabaran menjaga haiwan itu.

Pada masa yang sama, beliau rajin bertanya kepada para pencinta kucing, termasuk badan-badan seperti Persatuan Kebajikan Kucing (CWS) dan Persatuan Cegah Kekejaman ke atas Binatang (SPCA).

Setelah benar-benar puas beliau dan keluarga bersedia menerima 'anggota' baru, barulah Cik Melati, 45 tahun, membuka pintunya kepada Ochen, kucing pertamanya yang baru berusia enam minggu, pada Mac tahun lepas.

Sejak itu, pegawai pentadbiran itu telah mengambil seekor lagi kucing. Kucing yang diberi nama Mim itu merupakan kucing terbiar di bawah jagaan CWS.

'Menjaga haiwan peliharaan perlukan komitmen jangka panjang. Ia bukan perkara main-main,' ujar Cik Melati yang tinggal di Woodlands.

Selain menyiapkan segala keperluan asas seperti tempat bagi pasir tandas kucing dan batang penggaru, ibu tiga anak itu juga memastikan tingkap dan jeriji pintunya dipasang dengan kasa dawai demi keselamatan kucing- kucingnya.

Kesemuanya, beliau membelanjakan sekitar $150 untuk menjadikan rumahnya mesra kucing.

Cik Melati menambah beliau sedih dengan sikap sesetengah orang yang kurang prihatin dengan aspek keselamatan kucing peliharaan mereka.

Menurutnya, beliau mengenali seorang pemilik kucing yang terus membeli kucing baru selepas kucingnya cedera dek terjatuh dari tingkap rumah.

'Mereka ibaratkan kucing ini seperti barang perhiasan pula,' katanya, sambil menggeleng-gelengkan kepala.

Di samping itu, kedua-dua kucing Cik Melati, yang seekor jantan dan seekor lagi betina, telah dikembiri.

Bagi beliau, mengembirikan kucing peliharaan adalah perkara bertanggungjawab yang harus dilakukan para pemilik kucing.

Cik Melati begitu prihatin mahu menjadi seorang pemilik kucing yang bertanggungjawab sekalipun pada mulanya beliau seorang yang 'takut kucing'.

Malah, suaminya, Encik Mohamed Kartimon, 49 tahun, seorang pengendali kren, juga sebelum ini terasa geli untuk memegang haiwan itu

Pasangan itu akhirnya memberanikan diri demi memenuhi permintaan anak bongsu mereka yang telah sekian lama merengek dibenarkan memelihara kucing.

Hanya lebih setahun menjaga Ochen dan Mim, Cik Melati dan suami tidak dapat membayangkan hidup tanpa dua ekor kucingnya itu.

'Menjaga kucing dengan sempurna adalah tanggungjawab yang penting. Kita mesti memastikan bahawa kita boleh memenuhi segala keperluannya - daripada tempat tinggal yang selesa kepada keperluan perubatan.

'Kalau kita rasa tidak sanggup atau tidak mampu, usahlah pelihara kucing,' katanya.